Lagu Dikir Halim Ada Mesej Tersendiri.
Insan seni tidak mengenal erti jemu menabur bakti kepada masyarakat. Seni lebih kreatif dan inovatif di tangan pengamal berilmu. Keaslian tetap terpelihara biarpun ada perubahan bersesuaian masa dan zaman. Di tangan Halim Yazid, seni berdikir lebih bermesej dan berubah dengan adunan muzik pelbagai.
Menatap album terbaru nyanyian dikir Halim berjudul ‘Inovasi’ terbitan pada 2001 membuktikan Halim banyak mengabadikan mesej dalam lagu beliau. Sebelumnya melalui album Kehilangan(1990), Beruntung Jadi Anak Kelantan(1993), dan Angin(1998) memperkenalkan Halim sebagai warga seni menyalurkan mesej melalui seni dikir barat. ‘Inovasi’ turut mengekalkan konsep itu dengan sedikit perubahan alunan muziknya.
Inovasi mengumpulkan 10 lagu, muka A bermula dengan lagu Kenangan Selamat Tinggal, Tupai, Untuk Adik-Adik USM, 2001 tahun Cabaran, dan Bersain(berkawan) dengan Orang Comel, manakala muka B ada lima lagu iaitu Seribu erti, Lalang, Pesan dan Cinta Bilis.
Halim, anak kelahiran Kampung Changgai, Pasir Puteh, Kelantan. Kini menjawat jawatan Pegawai Kebudayaan Universiti Malaya. Saya tidak mengenali Halim dengan lebih dekat cuma banyak mengenali hanya melalui lagu. Seingat saya pertemuan empat mata berlaku di Sekolah Menengah teknik, Kuala Terengganu. Ketika itu Halim sebagai pengadil Pertandingan Dikir Barat Karnival Dadah Peringkat Kebangsaan dan kebetulan saya mengiringi pasukan Negeri Kelantan dalam pertandingan itu.
Lagu yang dijangka mendapat sambutan hangat dalam album inovasi ialah Diri Ambo 2. Lagu itu sering berkumandang di Radio Malaysia Kelantan kerana sering mendapat permintaan peminat. Album ini juga menyelitkan lagu Ariffin Ana, Seribu Erti diiringi gitar, mungkin buat penghargaan halim pada took ini.
Apa yang menarik dimiliki Halim dan tidak pada penyanyi lain ialah suka menerapkan aliran realisme dalam berdikir. Maksudnya, realiti hidup beliau banyak teradun melalui lagu buat pengajaran pendengar khususnya pelajar. Halim adalah anak kampong berjaya membuktikan cita-cita dan menolak tanggapan kuno, kemiskinan menyekat manusia untuk maju. Melalui lagu Diri Ambo, Halim memaparkan kisah perit hidup beliau yang bergelumang dengan pahit manis dilalui sehingga menjejakkan kaki ke universiti. Lagu ini ternyata mengalirkan air mata pada sesiapa yang menghayatinya.
Halim melanjutkan konsep pemaparan realiti hidupnya melalui lagu Diri Ambo 2 (Bangkit Asal). Cuma perubahan dilakukan melalui perubahan rentak, irama dan lirik. Lagu ini dijangka mendapat sambutan hangat seperti lagu sebelumnya. Lagu berirama melankolik boleh mengalirkan air mata kepada sesiapa sahaja yang melalui pengalaman seperti yang dilalui oleh Halim. Banyak pengajaran dan mesej dapat direnung dan difikirkan khasnya kepada pelajar di bangku sekolah. Pastinya kesusahan dan kemiskinan Halim tidak lagi dirasai oleh generasi hari ini.
Nasib dikir barat lebih terbela di tangan pengamal yang berpendidikan. Setahu saya selain Halim, Cikgu Sulizi , Cikgu Naim antara yang mewarnai dikir barat sesuai dengan tuntutan zaman. Dikir barat pada dunia internet menuntut pengamal orang yang berilmu untuk menyesuaikan dengan peminat yang rata-rata berpendidikan. Tukang karut atau Juara pasti berjuara atau mengarut sesuai dengan era semasa. Apatah lagi dikir barat dinilai dari sudut isi bersesuaian tema semasa selain kesopanan dan irama pantun yang tersusun. Ini menuntut kepada pengamal yang berpengetahuan terutama dalam mencipta lagu ketika mengarut atau berjuara.
Album Inovasi mesti dimiliki peminat seni dikir barat kerana di dalamnya ada lagu yang bermesej buat renungan bersama. Apatah lagi kelainan yang dibawa melalui album ini yang mengadunkan muzik tradisional dan moden seperti iringan gitar, violin dan serunai. Album keluaran Amalini Production, Subang Jaya menjanjikan sistem bunyi yang lebih canggih setanding lagu pop semasa.
Mendengarkan lagu-lagu dalam Album Inovasi, rasanya tidak pernah jemu terutamanya lagu Tupai yang menyindir manusia berlaku kejam terhadap binatang tanpa memikirkan betapa banyak yang kita pelajari dari binatang itu, 2001 Tahun Cabaran yang memusatkan bangsa, budaya dan keutuhan ummah.
Sesungguhnya lagu dikir barat mampu menyalurkan pelbagai mesej, menjadi penyalur dakwah dan berperanan sebagai media memupuk perpaduan. Pada bahu pengamal seni dikir terpikul beban untuk menentukan baik atau buruknya dalam mewarnai masyarakat melalui lagu.
Akhirnya, marilah kita renungi lagu bermesej Halim Yazid yang bukan sahaja memeaparkan pengalaman hidupnya ketika kecil malah turut menyanjung jasa guru dan ibu bapa. Antara senikata lagu dalam Diri Ambo 2 ialah:
Ada satu cerita cikgu minta sepuluh rial
Dia kata sekolah kita nak gi melawat sambil belajar
Cikgu tak dok apa dah saya tak leh bayar
Orang lain gi belaka ambo sorang jah tinggal
Terima kasih lah cikgu-cikgu kerana sudi ajar saya
Dari darjah satu hingga jadi manusia
Minta halal segala ilmu hak cikgu beri selama masa
Di tapak kaki guru ambo tunduk minta redha
Ambo masuk universiti tahun 80
Orang kampong nak gi ngaji tak tahulah mana jatuh
Adik-adik kecik lagi rata segenap kok dalam baruh
Ikhtiar dalam hati ambo nak ngaji sungguh-sungguh
Ingat malu ko orang waris warah dok pakat kata
Tak sah dok tumpang kalu tidak baka berjaya
Atas pula anak jantan buat habis ko harta
Tidak kata nak pakat ratan tulung bantu samas dua