Dikir barat alat penyampaian dakwah
Oleh :
Mohd Hanif Mat Nor
Pelbagai cara atau saluran boleh digunakan untuk berdakwah. Selain kaedah biasa yang diketahui umum, beberapa genre seni juga boleh digunakan untuk dakwah. Di Kelantan, dikir barat sebagai satu genre seni yang digemari rakyat turut dan boleh berfungsi sebagai penghubung sama ada antara pihak pemerintah dengan rakyat, mahupun antara satu organisasi tertentu dengan rakyat. Dikir barat malah menjadi media utama bukan elektronik untuk penyampai maklumat terkini.
Maklumat boleh disampaikan oleh dikir barat melalui dua unsur penting dalam dikir barat iaitu juara dikir dan tukang karut.
Tukang karut dan juara adalah dua tokoh penting dalam dikir barat berfungsi mendidik masyarakat, menyampaikan maklumat semasa dengan cepat melalui persembahan yang diadakan segenap ceruk kampung dari awal malam sampailah embun jantan membasahi bumi.
Jadi bukan kecil peranan dan sumbangan diberikan sehingga kita melupakan jasa mereka kerana sempitnya pemikiran dengan menganggap media utama berdakwah semata – mata melalui ceramah agama hanya berpusatkan masjid. Lebih malang lagi apabila ada pihak tertentu yang meletakkan dikir barat sebagai kerja tak berfaedah.
‘Tukang karut dan juara boleh mengubah persepsi masyarakat jika dia berilmu dan pandai mengadunkan mesej melalui lirik lagu ciptaannya. Buktinya dikir mampu membina sekolah rakyat hasil pungutan derma, membantu meringankan tugas polis dengan memberi penerangan mengurangkan kadar jenayah melalui lagu dan berjaya menyelesaikan perbalahan berkaitan isu masyarakat seperti menjadi alat perantara menyelesaikan perebutan tanah, menyeru rakyat membayar cukai dan menyatupadukan penduduk dalam sesuatu masyarakat.’ Tegas Pak Leh Tapang atau nama sebenarnya Mohd Salleh Ahmad, 75 tahun.
Pak Leh Tapang menjelaskan peranan pendikir sebagai penasihat masyarakat, perantara bertindak sebagai perayu masyarakat, penyampai dasar kerajaan dan mampu mengubah prasarana setempat, berperanan menjadi orang tengah rakyat untuk disampaikan kepada pemerintah dan sebaliknya.
Pak Leh juga turut mengakui dikir sebagai alat penyampai dakwah. Tuk juara atau tukang karut perlu memiliki ilmu keduniaan dan agama sebagai model untuk digunakan ketika berdikir.
‘Kejayaan mengubah pemikiran masyarakat banyak bergantung kepada tinggi rendahnya ilmu mereka. Pengalaman saya membuktikan masjid dapat dibina hasil derma orang ramai melalui dikir barat .’
‘Dua imam mengumpulkan orang ramai agar datang melihat persembahan dikir dan hasilnya sejumlah wang berjaya mengajak masyarakat menderma untuk kekuatan ummah dan Islam khasnya.’ Katanya di Kota Bharu.
Sejarah pembabitan beliau dalam dikir barat diceritakan panjang lebar bagi membuktikan dikir boleh dijadikan saluran utama berdakwah.
‘Satu ketika di jajahan Bachok, saya dijemput anak seorang tuk kadi untuk berdikir di rumahnya. Pada mulanya saya takut dan segan untuk hadir. Maklumlah tanggapan masyarakat terhadap dikir barat terutama berdikir pula di rumah tuk kadi. Saya dijemput menemui tuk kadi demi minat anaknya terhadap dikir. Apabila persetujuan dicapai, anaknya dan tuk kadi menjemput orang kampung mendengar dikir barat.’
‘Ketika berdikir saya menyelitkan unsur agama seperti tidak elok turun ke laut pada hari Jumaat ( dibimbangi meninggalkan solat Jumaat ), menasihati agar jangan meninggalkan sembahyang lima waktu dan sebagainya.’ Jelas Pak Leh.
Apabila tamat berdikir, tuk kadi menemui Pak Leh dan terlalu gembira serta memuji kerana dikir yang disampaikan dapat menarik perhatian penonton dan secara tidak langsung menyampaikan dakwah. Beliau berasakan Pak Leh dapat membantunya menyampaikan dakwah bagi menyeru manusia meninggalkan perkara mungkar.
Kenangan itu segar dalam ingatan Pak Leh. Nostalgia itu menolak tanggapan sesetengah pihak yang menyatakan dikir barat itu adalah kerja karut.
‘Tanggapan negative dilemparkan terhadap dikir barat mungkin timbul kerana tukang karut dan juara tidak memiliki ilmu yang sepatutnya disampaikan dikhalayak. Dikir barat sebenarnya hanyalah alat dan terpulang kepada pendikir untuk menentukan sama ada baik atau buruk apa yang disampaikan.
‘Kejayaan dikir barat banyak bergantung kepada jauh manakah ilmu yang dimiliki dua tokoh utama yang menguasai arena berdikir iaitu tukang karut dan juara. Oleh itu, beliau beranggapan dikir barat tidak ada salahnya Cuma cara atau kaedah berdikir itu yang salah kerana tidak berjaya menyampaikan apa yang baik dan bernas untuk difikirkan dikhalayak pendengar.
Mengakhiri perbualan, beliau amat mengharapkan sesiapa yang mahu membabitkan diri dengan dikir barat seharusnya terlebih dulu belajar mengisi ilmu di dada agar penyampaian ketika berdikir barat dapat memberi iktibar dan pengajaran serta peringatan berguna kepada masyarakat.
Dengan cara ini tanggapan masyarakat dapat diubah dan tidak lagi menganggap negatif terhadap dikir barat. Paling penting, beliau mahukan masyarakat mengiktiraf dikir barat sebagai alat menyampaikan dakwah kepada masyarakat sesuai dengan sasaran peminatnya dan menolak tanggapan buruk dan sempit iaitu dakwah semata – mata boleh disampaikan hanya di masjid atau di surau.
‘Kita hendaklah berdakwah kepada generasi muda yang jauh dari masjid. Mereka takut hendak datang ke masjid. Mereka dapat didakwahkan melalui dikir barat.
‘Kalau kita gunakan dikir barat sebagai cara berdakwah, kita tambah satu lagi cara menyebarkan dakwah. Yang masjid itu biarlah berjalan seperti biasa. Jangan diganggu gugat. Tapi yang bukan di masjid pun kena lakukan juga. Dalam hal ini dikir barat boleh digunakan sebaik – baiknya, kerana ia diminati masyarakat terutamanya masyarakat di Kelantan.
Di Kelantan ada banyak juara sama ada yang veteran mahu pun yang baru. Antaranya pendikir lama ialah Daud Bukit Abal dan Arifin Ana.
Pendikir baru iaitu Sulizi dan Halim Yazid adalah generasi baru yang berilmu kerana mereka dalah lepasan university. Di tangan golongan baru ini diharapkan dikir barat mendapat imej baru yang lebih baik daripada imejnya yang lama.
Misalnya, kata juara yang memang tepat kerana merekalah yang memimpin segala awak-awak berdikir tetapi tukang karut agak kurang membawa makna yang positif. Barangkali frasa untuk tukang karut patut ditukarkan kepada frasa baru seperti misalnya tukang pantun, yang lebih positif.
Dalam hal ini, media kita dan mereka yang terbabit boleh mengubahnya. Ini bukan perkara yang mustahil kerana Malaysia boleh!
Leave a Reply